Friday, 19 December 2014

Tazkirah Keusahawanan 1

Membina Semangat dan Jiwa Keusahawanan Dalam Kalangan Orang Islam



     Dewasa ini dalam persaingan bagi mendapatkan peluang pekerjaan atau perniagaan, idea menceburkan diri dalam keusahawanan adalah penting. Ramai orang mahu menjadi usahawan kerana yakin ia adalah jalan untuk kekayaan dan kemakmuran hidup. Pada hakikatnya , ajaran Islam mendorong penganutnya mencapai taraf hidup yang tinggi dan kemakmuran. Dengan ini mereka mampu menterjemahkan Islam sebagai rahmatan lil ‘aalamin dan menjadi khairu ummah (sebaik-baik umat).

Islam bukanlah agama yang menafikan keinginan manusia hendak menjadi kaya dan memiliki harta.Namun Islam menekankan kekayaan perlu diurus dengan berhati-hati supaya ia tidak jatuh menjadi haram dan dilaknat Allah.Seorang muslim perlu berusaha mencari rezekinya dan Allah suka kepada mereka yang sanggup bersusah payah demi mencari rezeki. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda: “Allah memberi rezeki kepada hambaNya sesuai dengan kegiatan dan kemahuan keras serta usahanya.”




Sama ada kita sedar atau tidak , Junjungan kita Nabi Muhammad SAW adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya pada zamannya. Ini kerana kita sering menyempitkan pandangan kita pada baginda. Kita hanya melihat baginda sebagai pemimpin agama semata-mata. Kita juga lebih banyak mengetahui kisah hidupnya selepas baginda diangkat menjadi rasul. Padahal contoh-contoh pada diri baginda yang perlu kita teladani wujud sejak baginda kanak-kanak, remaja dan seterusnya sehingga dewasa. Lama sebelum baginda diangkat menjadi rasul, baginda terlebih dahulu adalah seorang usahawan.

Inspirasi Menjadi Kaya

Semangat memperjuangkan kekayaan dengan menjadi usahawan adalah warisan Nabi Muhammad. Dengan itu kita tidak perlu membahaskan hal-hal yang berkaitan dengan perjuangan menuju kekayaan (bukan mengejar kekayaan) kerana menganggapnya tidak sesuai dengan amanat dakwah. Ini kerana baginda sendiri adalah seorang usahawan yang mencapai kekayaan. Baginda memberikan contoh bagaimana memperjuangkan kekayaan, mensyukuri kekayaan, aktif dalam perniagaan dan membelanjakan harta di jalan Allah.

Sebagai orang kaya ,Nabi Muhammad SAW memberikan mahar sebanyak 20 ekor unta sewaktu baginda bernikah dengan Khadijah. Selain itu, baginda juga menghadiahkan 12 auns emas kepada isterinya. Sekiranya wang itu ditukar dengan mata wang pada hari ini,jumlahnya memang besar. Selepas baginda berkahwin dengan Khadijah, kekayaannya bertambah kerana hartanya digabungkan dengan kekayaan Khadijah. Tidak ada catatan yang pasti mengenai kekayaan baginda dan bagaimana kekayaan itu berkurangan selepas baginda lebih menumpukan perhatiannya kepada aktiviti dakwah. Apa yang diketahui ialah baginda banyak menginfakkan hartanya bagi membiayai dakwah di jalan Allah.

Tidak dapat kita nafikan , salah satu sebab kelemahan umat Islam pada hari ini adalah kerana kelemahan ekonomi. Umat Islam lemah dan tidak memiliki kekuatan ekonomi yang cukup untuk bersaing dengan negara-negara yang kaya. AmerikaSyarikat berjaya menjadikan hampir seluruh negara di dunia bergantung pada dolarnya. Apabila nilai dolar jatuh, seluruh dunia merasakan kesannya. Orang-orang Islam yang berada dalam kemiskinan, hidupnya menjadi sempit dan mendekati kekufuran. Apa lagi hendak membantu orang lain. Dalam hal ini Allah mengingatkan dengan firmanNya: “ Carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu dengan kebahagiaan akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada kenikmatan duniawi. Berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu. Janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan.”
Mengapa sebahagian umat Islam masih berada dalam kemiskinan? Ada yang mengatakan kemiskinan adalah cara hidup orang-orang soleh. Benarkah dakwaan sebegini? Mengapakah kemiskinan seolah-olah menjadi bukti kesolehan? Ramai orang miskin merasakan apabila mereka miskin Allah sedang menguji mereka supaya mereka sabar, qanaah, tawakal dan zuhud. Padahal Allah juga menguji orang-orang kaya dengan keempat-empat sifat yang sama. Bahkan ujian untuk orang kaya adalah lebih berat lantaran banyaknya harta yang mereka miliki.

Membina Jiwa Keusahawanan

Kita mungkin sudah biasa mendengar hadis ini, “ Sembilan daripada sepuluh punca rezeki datang daripada usaha berdagang dan sepersepuluhnya lagi adalah daripada usaha berternak.” Persoalannya sejauh mana kita sebagai umat Islam merebut peluang dalam bidang perniagaan dan keusahawanan?Kebanyakan ibubapa merasakan jika anak-anak mereka berjaya menjawat jawatan profesional dan kerja makan gaji maka itu sudah menjamin kejayaan dalam hidup. Sikap sebegini haruslah dihindari agar kita dapat menjadikan keusahawanan dan perniagaan adalah warisan Nabi Muhammad SAW. Keusahawanan bukanlah bakat melainkan nilai-nilai yang ditanam sejak kecil sehingga menjadi kemahiran hidup.

Dalam tradisi keluarga peniaga Cina, ibubapa mula melibatkan anak-anak yang masih kecil dalam aktiviti perniagaan . Mereka juga sentiasa mengingatkan anak-anak supaya berjimat cermat. Ibubapa memulakan pendidikan keusahawanan sejak awal bagi mewariskan semangat dan jiwa berniaga kepada anak-anak mereka.

Semangat keusahawanan perlu ditanamkan sejak awal iaitu kepada anak-anak yang cemerlang dalam sikap dan pemikiran di peringkat sekolah rendah lagi. Dengan ini anak-anak yang cemerlang dapat memutuskan jalan hidupnya menjadi usahawan ataupun menjadi pencipta pekerjaan kepada orang lain. Harus diingat Nabi Muhammad SAW mula berniaga sejak berusia 12 tahun.

Kesimpulan dan Penutup

Keusahawanan adalah langkah bagi memperjuangkan kekayaan supaya dunia ini tidak menjadi penjara. Dalam hal ini kekayaan kerap disebut sebagai ‘kebebasan kewangan’. Umat Islam perlu menambahkannya menjadi ‘keberkatan kewangan’. Dengan kata lain, kekayaan yang kita usahakan dan miliki mengundang berkat daripada Allah sehingga kita memiliki kekuatan untuk berkongsi kekayaan itu dan mengurusnya dengan sebaik-baiknya.
Wallahu’alam.

Ditulis oleh,


Ummu Aufa

e-Wellness Pusat Fisioterapi dan Hidroterapi, Kuantan.

#awakkatmane
#usahawan
#tazkirah

No comments:

Post a Comment