Sunday, 21 December 2014

TAZKIRAH USAHAWAN 2


PRINSIP KEUSAHAWANAN ISLAM

Assalamualaikum / Salamsejahtera,

Alhamdulillah, bertemu lagi kita dalam ruangan TazkirahHari ini saya akan sambung lagi mengenai KEUSAHAWANAN ISLAM tetapi di dalam bab PRINSIP pula yang perlu ada bagi setiap orang yang ingin menceburkan diri di dalam bidang perniagaan, sama ada secara online atau tidak.
Terdapat beberapa prinsip-prinsip asas yang telah dirangkakan oleh agama kita berhubung dengan bidang perniagaan dan keusahawanan. Islam amat menitik-beratkan sikap berterus-terang, jujur dan amanah di dalam perniagaan. Jika dilihat prinsip-prinsip sebegini semakin hari semakin kurang diamalkan oleh golongan peniaga di negara kita khususnya. Ini akan menimbulkan perasaan saling tidak mempercayai di antara pembeli dengan peniaga.
Prinsip-prinsip perniagaan dan keusahawanan ini telah disebutkan di dalam Al-Quran dan Hadis, dan menjelaskan tentang prinsip-prinsip tersebut, di antaranya ialah berhubung dengan :
1.    Sumpah Dusta – Pada masa kini, para peniaga kebiasaannya cuba untuk mempengaruhi para pelanggan mereka dengan janji palsu atau sumpah dusta. Bermacam-macam cara mereka lakukan sama ada melalui pengiklanan atau pun promosi yang dikeluarkan dengan tawaran ala ‘Indah khabar dari rupa’, semata-mata untuk menarik para pembeli bagi membeli produk atau barangan mereka, serta menabur janji-janji palsu yang boleh mengelirukan. Ini mungkin disebabkan oleh pasaran ekonomi yang tidak seimbang, pengeluaran produk-produk baru, keghairahan untuk mengaut keuntungan dalam sekelip mata, dan mungkin juga oleh sikap para pembeli atau masyarakat kita yang tidak memperdulikan nilai-nilai moral atau ‘roh Islamiah’ di dalam kehidupan mereka. Islam amat membenci semua jenis urusniaga yang menggunakan sumpah dusta. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Abu Hurairah r.a yang telah meriwayatkan : “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud. Persumpahan-persumpahan dusta akan melariskan barang-barang dagangan tetapi menghapuskan keberkatan.” Abu Dzar juga telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud. ” Allah tidak akan menegur, memandang atau mengampunkan dosa 3 golongan, mereka akan menanggung seksaan yang amat pedih. Abu Dzar mencelah, “Sesungguhnya mereka telah sesat dan binasa!” Siapakah mereka ini, Wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Seseorang yang menunjuk-nunjuk kemewahannya dengan melabuhkan kain seluarnya di bawah paras buku lali, seseorang yang suka mengungkit-ungkit kebaikan yang telah dilakukan kepada orang lain dan seseorang yang telah melariskan barang dagangannya menerusi persumpahan dusta.” Riwaya Muslim
2.    Mengurangi Timbangan – Prinsip kedua yang disebut oleh Allah s.w.t ialah mengenai pentingnya ukuran dan timbangan yang betul dan selaras dalam perniagaan seharian kita. Masalah ini dipandang ringan oleh masyarakat kita, sedangkan Islam telah memberikan tumpuan dan penekanan yang utama mengenai faedah melakukan timbangan dan ukuran yang betul dan jujur sejak 1400 tahun yang lampau lagi. Sebagaimana Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang iaitu orang-orang yang apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya. Tidaklah orang-orang itu menyangka bahawa sesungguhnya kitab orang yang derhaka itu tersimpan dalam sijjin – Al-Mutoffifin 1-7
3.    Hubungan Baik – Prinsip ke-3 dan yang terakhir pula ialah kepentingan jalinan perhubungan yang baik di dalam urusan perniagaannya. Antara salah satu faktor utama timbulnya hubungan buruk di antara peniaga dan penjual ialah akibat dari sikap peniaga yang tidak menerangkan atau menulis syarat-syarat perniagaan dengan jelas dan dapat difahami oleh pelanggan atau sesama peniaga. Untuk mewujudkan hubungan yang baik di dalam perniagaan, maka hendaklah segala urusan berbentuk perjanjian perniagaan, tanda harga, hutang dan sebagainya ditulis secara jelas dan mestilah dibuat secara bertulis dengan menggariskan semua syarat-syarat yang telah dipersetujui, kerana hal ini telah dijelaskan di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Baqarah 282 yang bermaksud : ” Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, maka hendaklah kamu menulisnya dan hendaklah seseorang di antara kamu menulis secara benar

Demikianlah prinsip-prinsip yang dapat saya simpulkan secara ringkat dan dari ketiga-tiga prinsip tersebut terpampang jelas kepada kita bahawa perniagaan dan perdagangan dalam Islam amat berbeza pada asasnya dari perniagaan yang berkonsepkan perniagaan moden. Konsep perniagaan Islam ini berkait-rapat dengan nilai-nilai akhlak ‘Mahmudah’ atau terpuji dan berlandaskan kepada etika-etika hidup yang sememangnya tidak terdapat di dalam konsep perniagaan modem. Oleh itu, semua urusan perniagaan yang tidak membawa faedah, tidak boleh dianggap perniagaan Islam. Kerajaan berhak menyekat urusniaga atau perbuatan-perbuatan yang mengambil kesempatan ke atas mereka yang miskin atau golongan yang memerlukan.
Sekian dulu perkongsian ilmu pada hari ini, Insya-Allah bertemu lagi kita di hari Jumaat yang akan datang, untuk ruangan Tazkirah jika diberikan kesempatan masa. Terima Kasih

No comments:

Post a Comment